facebook KLIK PANGKAH UNTUK TUTUP Button Close
loading...

Wartawan Ini Rungkai Kebenaran MISTERI Lebuhraya Karak Yang Ramai TAK TAHU


Lebuhraya Karak yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan bandar Karak di Pahang mempunyai kisah-kisah misterinya tersendiri sejak dahulu lagi. Pemandu di kawasan berkenaan sering dimomokkan dengan kisah-kisah seram namun sejauh mana kebenarannya. wartawan ini tampil merungkai MISTERI LEBUHRAYA KARAK yang ramai tak tahu...


Wartawan Ini Rungkai Kebenaran MISTERI Lebuhraya Karak Yang Ramai TAK TAHU !!! | LEBUHRAYA Karak yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan bandar Karak di Pahang mempunyai kisah-kisah misterinya tersendiri sejak dahulu lagi. Pemandu di kawasan berkenaan sering dimomokkan dengan kisah-kisah seram wujudnya kereta Volkswagen kuning, penumpang misteri, langsuir dan pasar bunian.
Ia seumpama urban legend yang kemudian menghantui pengguna lebuh raya berkenaan sehingga mereka takut melaluinya terutama pada waktu malam. Apatah lagi kemalangan ngeri kerap berlaku di lokasi tersebut yang dikaitkan dengan pemandu diganggu makhluk halus.
Namun sejauh manakah kebenaran ini? Apakah benar Lebuhraya Karak benar-benar diselubungi misteri atau sebenarnya faktor kecuaian pemandu dan keadaan jalan menjadi punca nahas jalan raya sering berlaku di kawasan tersebut.
Wartawan Sinar Harian, Aiman Sadiq Abdullah, M Feisal Norawi dan Muhayudin Salleh menyingkap kebenaran di sebalik kemalangan yang sering berlaku di Lebuhraya Karak.
SEBUT sahaja Karak, pengguna jalan raya akan mula membayangkan pelbagai perkara misteri dan seram.
Masyarakat di negara ini memang sudah tidak asing lagi dengan kisah di lebuh raya ini sehinggakan ada yang takut melaluinya.
Seorang pengguna yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd Shakir, 25, berkongsi cerita, dia pernah melalui pengalaman menyeramkan apabila diganggu ketika menggunakan jalan lama Karak.
Insiden seram itu berlaku ketika dia bersama rakannya menggunakan jalan tersebut untuk ke bandar Bentong.
Saya dengan dua lagi kawan sekolej dalam perjalanan ke bandar Bentong untuk cari tempat makan. Masa tu kami tinggal di sebuah hotel berdekatan selama dua hari untuk buat kajian.
Masa tu jam 2.45 pagi dan jalan gelap sungguh. Selepas satu laluan selekoh, tiba-tiba kami nampak cahaya terang dan ada orang berniaga di sepanjang jalan tu, katanya.
Mohd Shakir berkata, mereka yang ketika itu rancak berborak terus terdiam apabila terlihat keadaan seperti itu di tempat yang sunyi.
Masing-masing terdiam sebab kami tahu mana ada orang berniaga kat jalan lama ni awal pagi. Saya sempat baca segala surah yang saya ingat dalam hati.
Bila dah lepas kawasan tu, saya jeling di cermin pandang belakang dan nampak keadaan jalan yang gelap gelita, katanya.
Menurutnya, ketika itu dia berasa seram sejuk dan hanya mendiamkan diri sehinggalah mereka berjumpa dengan sebuah kedai makan.
Ditanya mengenai kejadian mistik di Lebuhraya Karak, Mohd Shakir berkata, cerita-cerita mistik memang banyak diperkatakan termasuk ada yang mendakwa nampak orang terjun dari bukit di lebuh raya itu pada waktu malam.
Menurutnya, memang perkara mistik tidak boleh diketepikan tetapi dia percaya kebanyakan kes kemalangan maut yang berlaku adalah disebabkan kecuaian sendiri.
Sebagai pengguna kita kena lebih berhati-hati dan memandu mengikut had laju supaya tak berlaku kemalangan meragut nyawa, katanya.
Sementara itu, berbeza dengan seorang penduduk, Mohd Faizzuldin Abdul Rashid, 33, menurutnya dia tidak pernah mengalami kejadian mistik di kawasan tersebut seperti mana yang selalu dibualkan masyarakat.
Kes-kes kemalangan yang berlaku di sini bagi saya disebabkan kecuaian diri sendiri. Mungkin pemandu terlampau mengantuk, letih dan ada juga memandu kereta dalam keadaan bahaya sehingga menyebabkan nahas, katanya.
Nampak perempuan berselendang dalam kereta
BERBEZA dengan pengalaman Mohd Shakir yang melalui jalan laama Karak, Aqil Syakir, 19, pula menempuhi pengalaman seram ketika melalui Lebuhraya Karak bulan lalu.
Menurutnya, selepas melalui kawasan Bukit Tinggi pada jam empat pagi, dia yang dalam perjalanan menuju ke Kuantan untuk menghadiri kenduri kahwin seorang rakan tiba-tiba berasa keadaan lebuh raya amat sunyi.
Untuk hilangkan rasa takut saya cuba buka radio, tapi yang pelik radio langsung tak dapat siaran.
Tak dapat pasang radio saya cuba tumpukan perhatian memandu semula. Tiba-tiba saya terlihat kelibat macam orang melintas. Saya terkejut, lantas terus istighfar, katanya.
Aqil berkata, dia kemudian mengambil keputusan untuk tidak mengendahkan perkara itu sehinggalah dia selamat sampai di Kuantan pada jam 8 pagi.
Menurutnya, di tengah-tengah perjalanan sekali lagi dia diduga apabila kenderaannya hanya mampu capai 80 km/j walhal dia hanya bersendirian dalam kereta.
Saya cuba nak pecut tak boleh. Saya rasa kereta saya berat macam bawa ramai penumpang.
Saya cuba tengok cermin belakang dan ternampak perempuan berselendang. Tapi tak nampak mukanya dengan jelas kerana muka dia pandang ke bawah.
Saya cuba untuk membaca kalimah ALLAH tapi mulut saya keras seperti dikunci. Saya baca dalam hati untuk kuatkan hati, katanya.
Tambahnya, lebih kurang lima kilometer sebelum Tol Bentong, kenderaan dipandu kembali normal dan dia boleh memecut.
Bila tengok balik cermin belakang, perempuan tu dah tak ada. Syukur kepada Allah akhirnya gangguan itu hilang. Itulah pengalaman yang pernah dialami oleh saya semasa melalui lebuh raya itu, katanya.
Percaya walaupun tak pernah rasa
RATA-RATA pengguna yang biasa melalui jalan lama atau Lebuhraya Karak percaya dengan unsur mistik di sebalik kejadian yang pernah berlaku di kawasan itu.
Bagaimana pun, mereka mengakui tidak pernah mengalaminya sendiri sebaliknya berdasarkan cerita daripada kenalan atau saudara mara.
Seorang penduduk Kampung Lanar, Lanchang, Moha Insanain Md Roslan, 31, berkata, kedua-dua jalan itu merupakan jalan utamanya hingga kini dan masih kerap melaluinya namun tidak pernah terserempak dengan kisah-kisah yang diceritakan.
Saya hanya dengar cerita daripada orang, kisah dari mulut ke mulut. Setakat saya sendiri memang tak pernah kena dan orang-orang yang rapat pun sama. Kalau ikut cerita orang-orang yang kerja bawa lori tunda ni, katanya memang adalah lokasi-lokasi keras tu, katanya kepada Sinar Harian.
Seorang penduduk Kampung Buntut Pulau, Temerloh, Mohd Farhan Mohd Alias, 31, berkata, dia percaya semua kejadian itu mungkin ada kaitan dengan kewujudan syaitan.
Saya menetap di Bentong dan biasa guna jalan tu tapi setakat ini tak pernah lagi jumpa dan saya memang tak minta nak jumpa.
Pernah la dengar kisah dulu-dulu macam Volkswagen kuning tapi sekarang lama dah tak dengar orang cerita, katanya.
Berdasarkan kisah-kisah yang berlaku di negeri lain, seorang penduduk Temerloh, Muhammad Arsyad Ibrahim, 27, mengakui percaya kisah-kisah mistik itu tidak mustahil benar-benar berlaku.
Sumber asal :-SinarHarian

0 Response to "Wartawan Ini Rungkai Kebenaran MISTERI Lebuhraya Karak Yang Ramai TAK TAHU"

Post a Comment